Dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari
ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak
memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu
berkata :
"Ya
Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan sulit meninggalkannya."
Maka Rasulullah menjawab : "Maukah engkau berjanji bahwa engkau sanggup
meninggalkan berbicara bohong?". "Ya, saya berjanji" jawab
lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulang ke rumahnya.
Menurut
riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai
seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman
keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia berupaya untuk meninggalkan
segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam
perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam
hatinya : "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh
Rasulullah itu." Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat,
hati kecilnya terus mengejek.
"Berani
engkau berbuat jahat. Apa jawaban kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah.
Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia
berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W.
dan setiap kali pulalah hatinya berkata : "Kalau aku berbohong kepada
Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku
bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh
Tuhan....sesungguhnya di dalam pesan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah
yang sangat berharga."
Setelah
dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam
perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari
hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan
kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke
akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.