Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya,
"Aku sedang duduk bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W
datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana
menghormati dan memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke
dalam rumah. Nabi S.A.W bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah
berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil
meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku
dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku
berkata, "Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku
sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku
menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.
Baginda terbangun dari tidurnya seraya bertanya,
"Apakah sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa
aku ceritakan kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya,
"Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan
wahai Rasulullah!"
Rasulullah S.A.W berkata, "Engkaulah
katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada keadaan lebih hebat bagi
mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama
bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai
ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!"
Rasulullah S.A.W bertanya lagi: "Itu juga
termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab
Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia
diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat
semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya
kembali, mereka
menyerahkan kepada Allah berserta dengan segala amal perbuatannya."
Rasulullah S.A.W bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih hebat daripada
itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih
tahu."
Maka bersabda Rasulullah S.A.W : "Wahai
Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang
memandikan masuk ke rumahnya untuk emmandikannya. Maka keluarlah cincin di masa
remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya.
Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk
dimandikan.
Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat
mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar
kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai
orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku
dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul
maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, "Wahai orang
yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan
yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari
sebab lepasnya roh," Dan jika merea memandikan, maka berkata roh:
"Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku
dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan dan
diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat
memanggil, "Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan
dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum
keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada
hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat berjumpa lagi
sehingga hari kiamat."
Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat
akan menyeru,
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi
janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim,
janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan
dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan
kembali untuk selama-lamanya."
Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka
berkata lagi mayat, "Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu
percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum
keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga
hari kiamat.